
Soal bangsa dan agama tidak pernah menjadi faktor buat Hartini yang juga pengasas bersama pusat perlindungan Yayasan Chow Kit ketika dia memberi sokongan secara terbuka terhadap kes hak penjagaan Loh dan kemudiannya melancarkan kempen mengumpul dana untuk membantunya memulakan perniagaan makanan.
Pergelutan Loh untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya menyebabkan timbulnya perbezaan pendapat umum yang menyentuh soal bangsa dan agama. Anak lelaki dan perempuan kembarnya ditukarkan agama kepada Islam oleh bekas suami tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
Hartini berkata, sokongannya kepada Loh adalah berdasarkan keadaannya sebagai ibu berusia 34 tahun yang sedang bergelut.
“Saya tidak melihat dari segi mana-mana agama atau budaya, dia hanya seorang ibu yang bergelut untuk membesarkan anak-anak yang sudah tiga tahun tidak berjumpa,” katanya kepada FMT.
Hartini berkata, dia cuma ingin membantu Loh memulakan hidupnya semula.
“Saya cuma ingin membantu anak-anaknya kembali ke sekolah, mengumpul wang untuknya supaya dia boleh memandu kendera saji dan hanya berada bersamanya yang juga sebagai wanita dan ibu yang melalui waktu-waktu sukar.”
Loh disatukan semula dengan anak perempuan kembarnya, 14 tahun dan anak lelaki pada Februari lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya untuk mendapatkan semula hak penjagaan ke atas mereka.
Mereka terpisah sejak 2019 apabila Loh tinggal di pusat perlindungan kerajaan untuk mangsa keganasan rumah tangga. Sepanjang tempoh itu, anak-anaknya ditukarkan kepada agama Islam oleh bapa mereka tanpa kebenaran Loh dan dijaga oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang.
Pada Mac, Loh dilaporkan berhenti kerja sebagai pembantu cef di sebuah hotel di Genting Highlands untuk berada lebih dekat dengan anak-anaknya dan membina semula keluarga.
Loh berkata, dia berhasrat untuk memulakan perniagaan kendera saji untuk menjual makanan di pelbagai kawasan.
Hartini kemudiannya memulakan kempen mengumpul dana secara dalam talian dan berjaya mengumpul RM60,000 untuk Loh. Dia juga menyediakan sukarelawan untuk menjadi tutor kepada tiga anaknya supaya mereka dapat mengejar semula pelajaran.
Katanya, dia tidak peduli sekiranya ada yang melihat tindakannya dari sudut agama.
“Jika mereka ingin menjadikannya sebagai soal agama, silakan, tetapi ia bukan niat saya.”