Permudah, bukan halang guna kenderaan mikromobiliti, kata Najib

Permudah, bukan halang guna kenderaan mikromobiliti, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata, hubungan 'first mile' dan 'last mile' yang optimum, berkesan serta cekap sangat penting bagi kejayaan pengangkutan awam.

Najib Razak berkata, kerajaan boleh menetapkan peraturan keselamatan untuk kenderaan mikromobiliti supaya ia tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna dan orang ramai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Najib Razak berkata, kerajaan sepatutnya memudahkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, bukan menghalangnya.

Bekas perdana menteri itu berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti mampu memainkan peranan sangat penting dalam menjayakan lagi hubungan “first mile” dan “last mile”.

“Hubungan ‘first mile’ dan ‘last mile’ yang optimum, berkesan dan cekap untuk pengguna adalah sangat penting bagi kejayaan pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorail, KTM Komuter dan MRT.

“Sebab itu, pandangan saya ialah kerajaan hari ini patut memudahkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromobiliti – bukan menghalangnya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Kerajaan pada 26 April lalu menetapkan tiga jenis kenderaan dilarang digunakan atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta, termasuk Moped, skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan alat bantuan pergerakan peribadi.

Najib berkata, sekiranya kerajaan berhasrat menjayakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar, maka ia tidak patut pukul sama rata dengan menghalang penggunaan mikromobiliti.

“Kita ada lima cara yang dibenarkan untuk bergerak dalam bandar – berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal, kereta dan bas.

“Bagi memudahkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, kerajaan boleh meletakkan syarat bahawa setiap model mikromobiliti yang ingin dijual di Malaysia perlu diluluskan ciri keselamatannya dan dikategorikan mengikut lima cara pengangkutan yang saya sebut tadi.”

Katanya, kenderaan mikromobiliti kecil yang perlahan dan tidak banyak berbeza dengan berjalan kaki wajar dibenarkan digunakan di laluan pejalan kaki, manakala kenderaan mikromobiliti yang lebih dekat dengan basikal pula dibenarkan digunakan di laluan basikal sedia ada dan seterusnya.

“Jika masih bimbang pengguna kenderaan mikromobiliti tidak bertanggungjawab dan akan mengganggu pengguna jalan raya atau lalu lintas pejalan kaki, maka letaklah penalti atau hukuman lebih berat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.