
Penyelaras Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Zon Utara, Amizudin Ahmat, bagaimanapun berkata, perkara itu sememangnya sudah dijangka kerana kebanyakan ahli berdaftar sudah menyatakan hasrat mengundi secara dalam talian.
Katanya, ahli sebelum ini sudah dinasihatkan memilih proses pengundian dalam talian kerana ia lebih mudah, selain mengambil kira keadaan negara yang masih dalam suasana wabak Covid-19, walaupun kini dalam fasa peralihan ke endemik.
“Bagi ahli yang tidak berdaftar untuk mengundi dalam talian mereka diminta mengundi secara fizikal dan jumlahnya tidak ramai.
“Disebabkan itu, pusat pengundian lengang hari ini, kerana banyak ahli pilih untuk mengundi dalam talian pada 18, 19 dan 20 Mei ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Amizudin berkata, secara keseluruhan proses pengundian secara fizikal di Pulau Pinang berjalan lancar walaupun pada awalnya ada sedikit masalah teknikal yang kemudian berjaya diatasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui berlaku sedikit kekecohan di bahagian Bayan Baru, namun dia dapat diselesaikan dengan baik.
“Perkara itu (perang mulut) adalah perkara biasa macam bergaduh sesama adik beradik,” katanya.
PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Antara negeri sudah mengadakan pengundian secara fizikal ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan, manakala hari ini pengundian fizikal dijalankan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
Untuk Selangor, negeri yang memiliki ahli paling ramai ditetapkan pengundian pada 21 Mei, sementara Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei ini.