
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata agenda penyatuan ummah adalah lebih besar berbanding ‘survival’ atau kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.
“Perjuangan PAS tidak bersandarkan kepada agenda kepartian atau survival politik parti-parti tertentu semata-mata, sebaliknya melihat kepada agenda lebih besar iaitu penyatuan ummah.
“Kita akan terus berusaha melakukan perbincangan bersama Umno demi memastikan kerjasama terjalin antara dua parti terus utuh walaupun ada sesetengah pemimpin menyifatkan MN sudah berkubur,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas konteks agenda besar, beliau yang juga menteri besar Terengganu berkata, sebagaimana ditegaskan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, PAS perlu sentiasa berusaha memastikan MN dan Perikatan Nasional (PN) dapat terus bergerak, serta menjadi antara satu alternatif dalam negara berbanding Pakatan Harapan (PH).
Katanya, walaupun ada pihak tidak berapa bersetuju dan merasakan sudah tamat riwayat (MN), tetapi PAS kita melihat agenda lebih besar untuk ummah.
“Mana lebih besar, ummah atau pun survival parti politik tertentu semata-mata…kita (PAS) tak jemu (mempertahankan MN) sebab bagi kita ia bukan seperti mana yang digambarkan sesetengah pemimpin parti politik.
“Bila orang tak nak, maka kita tak boleh terhegeh-hegeh…ini bukan soal bertunang, bukan soal kahwin atau mencari anak dara (sebaliknya) ini adalah soal ummah. Kepentingan agenda besar ummah itu lebih besar daripada benda lain,” katanya.
Ditanya sama ada PAS berkecil hati dengan pelbagai kenyataan dilontarkan, Samsuri berkata, parti itu tidak berkecil hati dan akan terus bergerak dan berjuang.
“Insya-Allah, kita akan terus jalan, semoga (apa yang dilakukan) mendapat keberkatan di sisi Allah,” katanya.