Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

Warga emas itu dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

Usaha mengesan mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering sedang giat dijalankan, menurut Maritim Terengganu. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering di sini, hari ini.

Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering dekat sini, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong bot.

Pengarah Maritim Terengganu Muhammad Suffi Ramli berkata, kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

“Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

“Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.