Dr M dakwa Umno tak hormat perlembagaan sendiri, tangguh pemilihan terlalu lama

Dr M dakwa Umno tak hormat perlembagaan sendiri, tangguh pemilihan terlalu lama

Pengerusi Pejuang berkata Umno mengetahui parti itu akan berpecah sekiranya pemilihan tidak ditangguhkan.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, penangguhan pemilihan Umno menunjukkan parti itu tidak menghormati perlembagaannya sendiri.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno tidak menghormati perlembagaan sendiri apabila meluluskan usul meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Beliau yang juga pengerusi Pejuang turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan berkenaan.

“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah Umno. Jadi mereka ambil jalan senang mempengaruhi kerajaan supaya tangguh pemilihan.

“Ini kalau dalam jangka pendek tak apalah. Ini sampai berapa bulan hendak tangguh. Itu bermakna kita tidak menghormati perlembagaan kita,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi, di Dataran Telaga Walk, Pantai Cenang, Langkawi, hari ini.

Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi mengulas usul pindaan perlembagaan Umno untuk menangguh pemilihan parti semalam bagi membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaanbahawa pindaan perlembagaan itu dilakukan bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden.

Katanya, cadangan pindaan perlembagaan parti itu datang daripada suara akar umbi.

Belum sesuai PRU15

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahathir mengulangi pendirian bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) belum sesuai diadakan dalam masa terdekat, walaupun jumlah kes harian jangkitan Covid-19 dilihat semakin terkawal ketika ini.

Katanya, langkah berjaga-jaga perlu terus diambil bagi mengelakkan wabak itu kembali menular sehingga meningkatkan kembali jumlah kes jangkitan di negara ini.

“Kita harus berjaga-jaga. Kita harus ingat apa berlaku ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah. Pada masa itu jumlah kes (Covid-19 di negara ini) rendah, tapi bila diadakan PRN Sabah ia menyebabkan berkembang penyakit ini.

“Kes Covid-19 (kini dilihat) berkurangan tetapi kita perlu jaga juga, macam pakai pelitup muka itu perlu diteruskan dan tidak berkumpul terlalu dekat…, jika tidak angka itu (jumlah kes) akan meningkat semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.