‘3 tahun tunggu’, tak wajar tangguh pembangunan 5G, kerajaan diberitahu

‘3 tahun tunggu’, tak wajar tangguh pembangunan 5G, kerajaan diberitahu

Kerajaan juga perlu menjelaskan beberapa persoalan berbangkit berhubung status jual beli data daripada Digital Nasional Bhd kepada syarikat telekomunikasi.

ADUN Semambu Lee Chean Chung berkata sehingga hari ini masih tidak ternampak sebarang kemajuan dalam penawaran perkhidmatan 5G kepada rakyat oleh kerajaan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pembangunan infrastruktur 5G tidak wajar ditangguhkan meskipun negara berdepan pelbagai campur tangan politik, kata ADUN Semambu, Lee Chean Chung.

Katanya, kerajaan jelas tidak menunjukkan kepimpinan dan tiada hala tuju yang jelas bila merujuk kepada perkembangan pembangunan (roll-out) 5G yang telah dilambat-lambatkan oleh kerajaan.

“Mana 5G kepada rakyat selepas tiga tahun menunggu? Sehingga hari ini, masih tidak ternampak sebarang kemajuan dalam penawaran perkhidmatan 5G kepada rakyat,” kata ADUN PKR itu dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan beberapa persoalan berbangkit berhubung status jual beli data daripada syarikat milik Kementerian Kewangan, Digital Nasional Bhd (DNB) kepada syarikat telekomunikasi.

Lee Chean Chung.

“Pada 29 Mac 2022, diumumkan bahawa 70% saham DNB akan dijual kepada empat pengusaha rangkaian mudah alih iaitu Celcom Axiata, Digi, Maxis dan U-mobile. Mereka diberikan tempoh tiga bulan hingga hujung Jun untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.

“Perlu diperingatkan bahawa semua u-turn dan perubahan dasar ini telah menjejaskan pelaksanaan 5G di negara kita. Harga saham ketiga-tiga Telco (Maxis, Digi dan Axiata) telah pun mengalami kerugian sebanyak RM26 bilion,” katanya.

Kerajaan memulakan pembangunan rangkaian 5G pada 2020 iaitu bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjadikan Malaysia antara negara pertama di Asia Tenggara yang memulakan inisiatif teknologi 5G.

Namun, selepas kerajaan bertukar tangan kepada Perikatan Nasional (PN), DNB ditubuhkan untuk menerajui pembangunan 5G melalui model Rangkaian Borong Induk (Single Wholesale Network).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.