
Katanya, tindakan melaga-lagakan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri Melaka dengan ketua Umno negeri, Ab Rauf Yusoh, juga disifatkan sebagai perbuatan ‘duri dalam daging’.
“Mengikut pengetahuan saya, ketua menteri dipilih dan dipersetujui oleh wakil rakyat dan bukannya dipilih oleh ketua bahagian mahu pun pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat, justeru, saya harap pihak yang suka melaga-lagakan orang ini janganlah jadi seperti lebih sudu dari kuah.
“Kerajaan negeri ketika ini adalah mandat dan kepercayaan rakyat yang mahu melihat kepimpinan negeri berkhidmat dan bukannya sibuk berpolitik menjatuhkan mana-mana pihak. Sekiranya terdapat cubaan yang cuba memecah-belahkan Umno negeri, saya memohon Lembaga Disiplin mengambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Kelmarin, memetik sumber, FMT melaporkan Ab Rauf sedang menghitung hari sebagai ketua Umno Melaka susulan banyak aduan terhadapnya diterima.
Menurut sumber berkenaan, lima ketua bahagian sudah bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagi menuntut beliau digantikan.
Dalam pada itu, Akmal yang juga naib ketua pemuda Umno negeri, berkata tindakan melaga-lagakan kedua-dua pemimpin itu jelas membuktikan ada tidak senang melihat kemampuan serta keharmonian antara mereka sehingga sanggup menjadi pengadu domba.
Katanya, sebagai exco kerajaan negeri, perbincangan berhubung peletakan jawatan Sulaiman tidak pernah dibincangkan termasuk tidak ada usaha meminta barisan exco menukar ketua menteri daripada mana-mana pihak.
“Maka, dakwaan untuk meminta ketua menteri meletakkan jawatan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas kerana perkara itu tidak pernah langsung berlaku dan dibincangkan bersama kami selaku wakil rakyat,” katanya.