Tambang ECRL setara kereta api sedia ada, mesra rakyat

Tambang ECRL setara kereta api sedia ada, mesra rakyat

Menteri Pengangkutan itu membidas dakwaan kononnya hak milik projek itu akan dikuasai negara asing hanyalah propaganda berniat jahat.

Wee Ka Siong memaklumkan, tambang ECRL akan dikawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kadar tambang Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah setara dengan kadar tiket perkhidmatan kereta api sedia ada dan mesra rakyat.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong memaklumkan, ia akan dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bawah Kementerian Pengangkutan.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kadar tambang ECRL yang akan ditentukan kelak setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada yang dikawal selia APAD, agensi di bawah kementerian pengangkutan. Berdasarkan kadar tambang sedia ada, ianya amat berpatutan dan mesra rakyat.

“Kedua, berkenaan unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL, ianya telah dikaji oleh pihak perunding bertauliah yang mempunyai kepakaran untuk mengumpul data dan menjalankan kajian bagi merumuskan unjuran trafik tersebut,” katanya menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Wee berkata, melalui pengumpulan data dan kajian pihak perunding, ECRL mampu menjana trafik penumpang dan kargo yang tinggi memandangkan jajarannya melalui kawasan industri berat dan hab pembuatan yang dihubungkan dengan pelabuhan utama negara.

“Manfaat yang mampu dijana oleh projek ECRL ialah melalui value-capture keseluruhan projek ini iaitu pembangunan ekonomi yang pesat di negeri Pantai Timur apabila kemudahan rel disediakan dan kos pengangkutan kargo dari dan ke wilayah itu menurun sehingga 40% – 50%.

“Ini akan meningkatkan daya saing negeri Pantai Timur dan mewujudkan lebih banyak industri baharu yang dijangka menjana pendapatan melalui cukai kepada kerajaan seterusnya dikembalikan kepada rakyat.

“Apakah pihak pembangkang mahu menafikan peluang ini kepada negeri Pantai Timur? Adakah sumber pendapatan dan limpahan ekonomi ini diklasifikasikan sebagai satu bentuk ‘penindasan’ dalam pemikiran pemimpin pembangkang?,” soal beliau.

Mengulas dakwaan kononnya hak milik projek itu akan dikuasai negara asing, Wee berkata, ia hanyalah propaganda berniat jahat sengaja diciptakan.

“Mengenai dakwaan hak milik atau pemilik utama kepada projek infra rakyat ini. Saya melihat dakwaan ini sengaja dicetuskan sebagai propaganda berniat jahat sebagaimana naratif sesetengah pihak sebelum ini berhubung projek pembangunan Forest City, usahasama Proton-Geely.

“Naratif mereka, negara asing menguasai aset Malaysia, aset negara digadai dan kedaulatan negara diceroboh. Ini bukan sahaja fitnah, tetapi juga memburukkan imej Malaysia di kaca mata masyarakat dunia, lebih buruk ia menghakis kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara kita,” katanya.

Katanya, Malaysia Rail Link (MRL) sebagai sebuah anak syarikat milik penuh kementerian kewangan diperbadankan telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 untuk dilantik sebagai operator ECRL.

“Melalui MoU ini, 80% daripada keuntungan operasi akan dimiliki MRL dan bakinya milik CCCC. Sebarang kerugian operasi akan ditanggung bersama 50:50. Ini membuktikan keyakinan pihak dari China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti dan kelestarian perkhidmatannya.

“Spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL kepada China adalah tidak berasas sama sekali. Aset ECRL adalah 100% milik kerajaan Malaysia melalui MRL dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

“Pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada bank milik kerajaan China juga langsung tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL. Ditegaskan bahawa MRL adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala syarikat CCCC adalah kontraktor utama,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail meminta bekas perdana menteri, Najib Razak untuk memberi penjelasan lanjut mengenai projek itu ECRL, termasuk harga tiket dan kaedah untuk menyelesaikan hutang pembinaannya.

Beliau turut membangkitkan soal kos ECRL yang tinggi dan berpandangan ia akan menyebabkan harga tiket yang mahal sehingga mencecah ‘enam kali ganda daripada tambang pesawat’ untuk ke destinasi yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.