
Thomas Benjamin Daniel, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa berkata, kerajaan enggan bertindak lebih agresif kerana kurang kemampuan dari segi aset yang dikerahkan di Laut China Selatan berbanding Beijing.
“Saya percaya Malaysia mengambil pendekatan yang terhitung bagi memastikan tindakan dan respons kita, apabila bertindak mengikut hak kita, tidak memberi China alasan untuk memperhebat kehadiran atau tindakannya,” katanya kepada FMT.
Beijing banyak melabur untuk meningkatkan keupayaan ketenteraannya dalam tempoh dua dekad lalu dan ini menjadi faktor utama dalam tindakan dominan China di Laut China Selatan.
Ini termasuk membangunkan dan mengerahkan kapal serta pesawat yang mampu beroperasi untuk tempoh dan jarak lebih lama.
Banyak negara di rantau Asia Pasifik, seperti Jepun, Korea, Indonesia dan Vietnam, telah mula meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka, tetapi kata Daniel, beliau percaya aset ketenteraan China kekal tiada tandingan.
Sementara itu, Malaysia hanya mempunyai bajet kecil untuk pertahanan.
“Ini bererti Malaysia perlu berfikir masak-masak mengenai cara terbaik untuk memperuntukkan sumbernya yang terhad bagi berdepan ancaman, selain apa yang diperlukan untuk tempoh jangka singkat, sederhana serta panjang.
“Selain itu, perbelanjaan pertahanan bukan sedikit. Ini menambah dorongan untuk memastikan pembaziran dan kebocoran dielakkan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pencerobohan China di Laut China Selatan memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi, seperti bagi nelayan kecil-kecilan di Sabah.
Pencerobohan agensi maritim China di telaga gas Kasawari di perairan Malaysia juga menjadi kebimbangan dari segi ekonomi, katanya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan menggesa agar kerajaan mengambil “tindakan lebih tegas” terhadap pencerobohan China di perairan negara, khususnya di Sabah.
Ahli parlimen Warisan itu berkata, sejak awal April, pesawat pejuang J-20 China didapati menjalankan latihan dan rondaan secara kerap di Laut China Selatan.
Tentera laut turut melaporkan 23 kes pencerobohan pada 2021, tambahnya.