Harga durian musang king, duri hitam dijangka naik

Harga durian musang king, duri hitam dijangka naik

Kenaikan itu disebabkan pengeluaran raja buah berkurangan 50% disebabkan faktor cuaca, kos baja dan pekerja yang meningkat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah berkata, harga duri hitam mampu mencecah RM100 sekilogram, musang king antara RM60 dan RM80 sekilogram mengikut gred, berbanding RM30 hingga RM40 sekilogram sebelum ini. (Gambar Flickr)
JASIN:
Peminat durian terutama jenis premium seperti musang king dan duri hitam bakal berdepan kenaikan harga sekali ganda pada musim durian tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah berkata, kenaikan itu adalah disebabkan pengeluaran ‘raja buah’ itu yang dijangka berkurangan hampir 50% akibat faktor cuaca.

“Kita percaya musim hujan pada penghujung Mac ke April lalu memberikan kesan kepada penghasilan debunga durian, yang sekali gus memberi impak kepada jumlah pengeluaran buah.

“Kita jangka faktor itu akan menyebabkan jumlah pengeluaran berkurangan hampir 50% di sesetengah negeri,” katanya menurut laporan Bernama.

Katanya, selain faktor cuaca, kos baja dan pekerja yang meningkat turut menjejaskan pengeluaran durian, malah lebih lewat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Setakat ini Pulau Pinang dan Perak sudah mengakui jangkaan kekurangan pengeluaran durian hingga 50% malah persatuan penanam durian juga memberi laporan kemungkinan harga durian pilihan utama iaitu duri hitam dan musang king akan dinaikkan, di samping durian kampung,” katanya.

Menurutnya, harga duri hitam dijangka mampu mencecah RM100 sekilogram manakala musang king antara RM60 dan RM80 sekilogram mengikut gred, berbanding RM30 hingga RM40 sekilogram.

Beliau berkata, penetapan had harga durian adalah di luar kawalan pihaknya dan bergantung kepada prinsip pengeluaran dan permintaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.