Selangor catat 6,748 kes HFMD, lepasi paras amaran

Selangor catat 6,748 kes HFMD, lepasi paras amaran

Sebanyak 4% dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar, kata pengarah kesihatan negeri.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman, trend peningkatan HFMD di negeri ini berlaku sejak awal tahun ini terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun.
SHAH ALAM:
Sebanyak 6,748 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh Selangor dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lepas, menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata, 4% daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

“Pada masa sama, terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95% melibatkan kluster di taska atau tadika serta pusat jagaan harian. Tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini.

Beliau berkata, trend peningkatan penyakit tersebut di negeri ini berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun sejak awal tahun ini.

Katanya, 33% kes jangkitan berpunca daripada virus coxsackie A16 (CA16) dan 22% daripada enterovirus 71 (EV 71), manakala selebihnya lain-lain jenis virus.

Pada minggu epidemiologi ke-18 (ME 18) tahun ini katanya, sebanyak 525 kes dilaporkan, namun menurun 40% berbanding ME sebelumnya.

“Penurunan ini dipercayai berlaku berikutan cuti perayaan Aidilfitri dan kebanyakan pusat jagaan serta institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

“Tiada kluster HFMD dilaporkan semasa tempoh tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.