
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Yaacob Md Sam berkata, terdapat merit dalam permohonan yang difailkan oleh gadis itu..
Remaja terbabit didakwa membunuh bayinya pada 8 Feb lepas di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, Terengganu.
“Terdapat keadaan khusus untuk membenarkan permohonan ikat jamin ini,” kata Yaacob yang bersidang bersama Ahmad Nasfy Yasin dan Hasim Hamzah.
Yaacob berkata, wang ikat jamin RM20,000 perlu diserahkan kepada mahkamah dengan seorang penjamin.
Gadis itu, yang kini menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru, hadir di mahkamah bersama ibunya.
Gadis itu dan penjaminnya mesti melaporkan diri di balai polis Cukai pada minggu pertama setiap bulan dan mahkamah memerintahkan mereka hadir pada semua prosiding, kecuali diputuskan sebaliknya oleh mahkamah.
Dia juga dilarang ke luar negara melainkan dengan kebenaran mahkamah.
Syarat ikat jamin akan berkuat kuasa selepas dia dibebaskan dari hospital bulan depan.
Pada Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak ikat jamin bagi gadis itu yang tidak lagi bersekolah sekali gus mendorong permohonan seterusnya difailkan di Mahkamah Rayuan.