
Bagaimanapun, ia bukan satu perjalanan mudah buat India bangkit kembali dan meranapkan harapan Malaysia yang mengalami kemarau kejuaraan selama tiga dekad sejak kali terakhir menjuarainya pada 1992 di Kuala Lumpur.
India bermula dengan langkah kiri, biarpun pemain perseorangan utamanya Lakshya Sen memberikan tentangan sengit kepada perseorangan pertama Malaysia, Lee Zii Jia yang menyaksikan mereka terikat pada mata 16-16.
Lee kemudian menemui jalan keluar untuk menamatkan set pertama dengan kelebihan dua mata, 23-21.
Lee, pemain nombor enam dunia mengawal permainan sepenuhnya sementara Lakshya yang berada pada ranking kesembilan dunia tidak mendapat rentak permainan serta ketepatan pukulan diinginkan, memberikan Malaysia permulaan yang baik dengan kemenangan 21-9.
Bagaimanapun, India berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mempamerkan aksi mengagumkan yang mengakhiri persembahan menarik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada kejohanan kali ini.
Beregu nombor lapan dunia itu mengambil masa 41 minit untuk mengatasi Goh-Nur Izzuddin yang berada di kedudukan ke-13 dunia dengan 21-19, 21-15.
Ini menjadi kemenangan keenam mereka ke atas beregu Malaysia selepas tujuh pertemuan.
Kemenangan Satwiksairaj-Chirag sememangnya menaikkan semangat perseorangan kedua India, Srikanth Kidambi untuk menundukkan bintang negara yang sedang meningkat naik Ng Tze Yong, 21-11 dalam set pertama.
Selepas ketinggalan 9-15 dalam set seterusnya, pemain nombor 46 dunia, Ng mengembalikan harapan Malaysia dengan mendapatkan lima mata untuk merapatkan jurang mata kepada 14-15.
Bagaimanapun, pemain India yang lebih berpengalaman itu kembali mendapat rentak permainannya untuk memenangi set kedua 21-17, memberikan kelebihan satu mata buat pasukannya ke atas Malaysia.
Bagaimanapun, kemunculan beregu Malaysia seterusnya yang diwakili ketua pasukan Aaron Chia dan Teo Ee Yi tidak mengecewakan.
Chia-Teo terselamat dalam pertarungan mendebarkan dengan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud yang tidak memberikan laluan mudah sebelum memenangi set pertama 21-19.
Mereka meneruskan momentum dalam set kedua untuk menewaskan wakil India itu 21-17 dan seterusya menyamakan kedudukan 2-2 bagi Malaysia.
Setelah berjaya menyamakan kedudukan, nasib pasukan negara terletak di tangan Leong Jun Hao tetapi beliau gagal untuk menyumbang mata kemenangan.
Perlawanan ketiga perseorangan itu dimenangi pemain India Prannoy H S yang mengatasi Leong 21-13, 21-8 dan mengakhiri kemaraan Malaysia dalam edisi Piala Thomas kali ini.
India akan berhadapan Denmark dalam perlawanan separuh akhir esok selepas wakil Scandinavia itu menyingkirkan Korea Selatan 3-2.
Sementara itu, juara bertahan, Indonesia yang menewaskan China, 3-0 akan berhadapan Jepun yang mengalahkan Taiwan, 3-2.