
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, suspek ditahan selepas cuba melarikan diri dan melanggar seorang anggota sebelum terjatuh serta melanggar penghadang jalan.
“Semasa kejadian, semua anggota berpakaian uniform polis. Suspek kemudian telah ditahan oleh anggota ronda tidak jauh dari tempat mangsa dilanggar.
“Anggota polis yang dilanggar suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala suspek turut mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikal,” katanya dalam kenyataan.
Aidi berkata, suspek dan mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan dan dibawa semula ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan mendapati suspek melarikan diri dan melanggar anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan kerana tidak mempunyai lesen memandu.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini untuk perintah tahanan reman selama tiga hari hingga 15 Mei,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, bagi kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.