Lelaki lemas terjun sungai selepas dikejar

Lelaki lemas terjun sungai selepas dikejar

Mangsa berusia 40-an dipercayai dikejar sekumpulan lelaki sebelum nekad terjun ke Sungai Melaka.

Bomba berkata mayat ditemukan berhampiran lokasi tempat dilaporkan terjun oleh anggota pasukan penyelamat di air. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke Sungai Melaka ketika dikejar sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka, malam ini.

Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemukan sepasukan anggota bomba dan penyelamat Melaka Tengah jam 8.46 malam.

Saksi, Mimie Suraya Mohd, 25, berkata, sebelum kejadian, dia yang sedang bekerja di pos pengawal di Taman Rempah berhampiran lokasi terdengar bunyi bising sekumpulan individu mengejar lelaki berkenaan pada 6.30 petang.

Katanya, rakannya yang terkejut dengan kejadian itu turut mengekori lelaki berkenaan bagi mengetahui apa sebenar berlaku.

“Tidak lama kemudian, rakan beritahu lelaki yang dikejar itu terjun ke dalam sungai dan tidak ditemui,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Khairudin Atan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.07 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 7.20 malam.

Katanya, mangsa ditemui berhampiran lokasi tempat dia dilaporkan terjun oleh anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.