Cukup konsensus untuk AGC rangka draf RUU anti-lompat parti, kata menteri

Cukup konsensus untuk AGC rangka draf RUU anti-lompat parti, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen sudah memuktamadkan hampir semua keputusan peringkat dasar.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap rang undang-undang anti-lompat parti dapat dibentangkan dalam sidang khas Parlimen mengikut jadual. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, konsensus mencukupi sudah dicapai berhubung perkara dasar berkaitan anti-lompat parti untuk merangka satu rang undang-undang (RUU).

Selepas mempengerusikan mesyuarat keempat Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) semalam, Wan Junaidi berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) boleh mendraf RUU itu.

“Mesyuarat ini hampir memuktamadkan semua keputusan peringkat dasar untuk AGC mendrafkan RUU larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Jadi dengan sendirinya mesyuarat ini dilihat telah berjaya merungkai masalah dasar dan juga persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak.

“Daripada itu juga, jika dirujuk kepada semua saranan oleh pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat madani, pakar akademik dan kepakaran lain nampaknya ada kata sepakat dalam sudut pelaksanaan dasar undang-undang ini,” katanya dalam catatan Facebook.

Wan Junaidi berkata, PSC akan mengadakan mesyuarat pada 19 Mei ini untuk memuktamadkan draf RUU yang digubal AGC.

Beliau berharap RUU itu dapat dibentangkan dalam sidang khas Parlimen seperti dijadualkan sebelum ini mengikut budi bicara perdana menteri dan Kabinetnya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU anti-lompat parti akan dibentangkan di Parlimen pada Julai nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.