STPM ditangguh: Tak adil MPM ‘berdiam diri’, kata Teo

STPM ditangguh: Tak adil MPM ‘berdiam diri’, kata Teo

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata tindakan itu memberi gambaran buruk kepada kementerian dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Tiada alasan diberikan bagi keputusan menangguhkan peperiksaan STPM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching mengkritik Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) atas kegagalannya memberikan sebab di sebalik keputusan menangguhkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menyifatkannya sebagai tidak adil untuk calon, Teo berkata: “Ini kali kedua MPM mengubah tarikh peperiksaan (sejak 2020), tanpa penjelasan diberikan oleh kementerian pendidikan dan MPM bagi penangguhan itu.

“Tidak adil untuk pelajar kerana mereka tertekan menghadapi peperiksaan, sekalipun penangguhannya memberi mereka masa untuk lebih bersedia.”

Ahli Parlimen Kulai itu memberitahu FMT, ketiadaan penjelasan itu memberi gambaran buruk terhadap kementerian berkenaan serta MPM, kerana menampakkan perancangan yang kurang baik.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa ini akan menyebabkan penangguhan pengumuman keputusan STPM yang seterusnya mampu menjejaskan permohonan pelajar untuk menyambung pelajaran di luar negara.

“Jika keputusan ditangguhkan, pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di luar negara mungkin terlepas tarikh semester yang ditetapkan seterusnya terpaksa menunggu setahun lagi,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, MPM berkata jadual peperiksaan bagi semester ketiga STPM yang ditetapkan untuk lima tarikh mulai 18 Mei, telah ditangguhkan kepada 25 dan 26 Mei serta 13 hingga 15 Jun.

Tiada alasan diberikan bagi menjelaskan keputusan itu. STPM 2020 turut ditangguhkan ke tahun seterusnya akibat wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.