Shafie tak tolak kemungkinan Warisan bergerak solo hadapi PRU15

Shafie tak tolak kemungkinan Warisan bergerak solo hadapi PRU15

Presiden Warisan itu berkata sejarah politik di Sabah membuktikan sebuah parti berbilang kaum mampu membentuk kerajaan negeri.

Shafie (duduk dua dari kiri) pada sidang media di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Presiden Warisan Shafie Apdal tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergerak sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun berpendapat kerjasama politik adalah penting.

Katanya, sejarah politik di Sabah sebelum ini membuktikan bahawa sebuah parti berbilang kaum mampu memenangi pilihan raya seterusnya membentuk kerajaan negeri.

“Tidak semestinya dengan gabungan politik boleh menang (pilihan raya). Di Sabah dulu pernah berlaku sebuah parti berbilang kaum menjadi kerajaan, iaitu masa (parti) Berjaya dan seterusnya ketika PBS (Parti Bersatu Sabah) memerintah.

“Kita belum putuskan (sama ada Warisan akan bergerak sendiri) tapi gabungan atau kerjasama politik itu juga penting, kita akan lihat nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran #WarisanCares Tawaran Permohonan Kerja Sambil Belajar, di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Sementara itu Shafie berkata, parti itu setakat ini belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti atau gabungan bagi mewujudkan kerjasama politik.

Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Warisan perlu “membina rumah” mereka sendiri dulu sebelum memutuskan mengenai sebarang kerjasama politik.

“Kita bina rumah kita dulu, tiada gunanya menjalinkan kerjasama kalau rumah kita sendiri tidak kukuh, dindingnya, atapnya, tiangnya, kadang-kadang tiangnya pun kena curi.

“Sebelum ini kita pernah berbincang dengan Muda tapi kerjasama itu tidak kelihatan pada PRN Johor. Bagaimanapun kita bersedia bekersama semula, cuma buat masa ini saya beritahu Syed Saddiq biar kami jaga rumah kami dulu dan kamu jaga rumah kamu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna turut memaklumkan bahawa parti tu belum membuat keputusan sama ada akan bertanding di Semenanjung pada PRU15 nanti.

Katanya, walaupun prestasi Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu kurang memberangsangkan, namun ia bukan bermakna parti itu ditolak di Semenanjung.

“Di Malaysia ada 222 kerusi (Parlimen), kalau kita bertanding di Sabah sahaja cuma ada 25, sebab itu sebelum ini kita mendesak supaya kerusi Parlimen di Sabah ditambah tapi ia tidak disokong oleh PAS, oleh Umno, malah ada pemimpin dari Sabah sendiri yang tidak setuju kerana mengikut parti mereka, ia bukannya mengikut kehendak rakyat Sabah.

“Kita akan lihat (sama ada bertanding di Semenanjung), sebelum ini di Johor ia bukan tugas mudah, tapi bukan orang Semenanjung tolak (Warisan), di Pasir Gudang ada (yang sokong Warisan), pemimpin-pemimpin seperti di Kedah pun ada yang sokong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.