Shafee sembunyi ‘identiti’ RM9.5 juta diterima daripada Najib, kata saksi

Shafee sembunyi ‘identiti’ RM9.5 juta diterima daripada Najib, kata saksi

Saksi berkata peguam itu menyatakan wang berkenaan berupa bayaran khidmat guaman, namun dalam satu rekod percakapan dan kenyataan media, Shafee Abdullah memberitahu ia adalah pinjaman.

Pada 13 Sept 2018 Shafee Abdullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi, hari ini, diberitahu bahawa peguam Shafee Abdullah cuba menyembunyikan “identiti” wang berjumlah RM9.5 juta yang diterima daripada Najib Razak sebagai pinjaman, sedangkan wang tersebut adalah bayaran khidmat guaman kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar, 37, berkata berdasarkan kepada dua rakaman percakapan diambil SPRM, pada 2017 dan 2018, Shafee menyatakan bahawa wang RM9.5 juta itu adalah bayaran khidmat guaman, namun dalam satu rekod percakapan dan kenyataan media, peguam itu memberitahu wang tersebut adalah pinjaman.

“Pada awalnya, Shafee dirakam percakapan (dua rakaman pada 2017 dan 2018) sebagai saksi berkaitan penerimaan wang RM9.5 juta daripada Najib yang mana Shafee adalah salah seorang yang menerima wang daripada Najib yang ketika itu Najib disiasat oleh SPRM.

“Penjelasan Shafee menerusi dua rekod percakapan yang saya peroleh, jelas membuktikan bahawa penerimaan RM9.5 juta itu merupakan bayaran yuran guaman bagi kes-kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006 yang telah selesai,” katanya dan menambah dua rekod percakapan itu diambil oleh dua pegawai SPRM.

Saksi pendakwaan kelapan itu, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan kes peguam itu, yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Farid berkata, beliau telah mengemukakan aduan pada 4 Sept 2018, yang menjurus kepada kesalahan penerimaan wang RM9.5 juta oleh Shafee yang peguam kanan itu merupakan suspek dalam kertas siasatannya.

“Siasatan yang dibuat oleh saya adalah menjurus kepada sama ada penerimaan dua cek berjumlah RM9.5 juta telah diisytiharkan di dalam Borang B Tahun Taksiran (LHDN) 2013 dan 2014, daripada situ siasatan saya mendapati bahawa tiada laporan yang dibuat.

“Siasatan saya juga mendapati, berdasarkan rakaman percakapan dan kenyataan media, beliau (Shafee) cuba menyembunyikan identiti sebenar penerimaan RM9.5 juta yang diterima olehnya sebagai pinjaman, sedangkan duit RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan oleh Shafee kepada Umno dan BN,” katanya.

Kepada soalan Afzainizam mengapa saksi terakhir itu tidak mengeluarkan notis kepada Shafee dan firma Shafee & Co, supaya mengemukakan invois berhubung bayaran khidmat guaman kepada Umno dan BN, Farid berkata, Shafee sendiri mengesahkan bahawa beliau tidak meminta sebarang invois daripada Najib kerana “segan”.

“Selain itu, cek (RM9.5 juta) itu dibuat sendiri oleh Najib kepada Shafee kerana kes-kes petisyen pilihan raya 2004 dan 2006 telah selesai dilaksanakan,” jelasnya.

Selepas saksi pendakwaan terakhir itu selesai memberi keterangan, Afzainizam kemudian memaklumkan kepada Hakim Muhammad Jamil Hussin bahawa pihak pendakwaan telah menutup kes.

“Pihak pendakwaan menutup kes pada hari ini setelah memanggil lapan saksi. Pendakwaan tidak menawarkan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan Hakim Jamil kerana mendengar kes itu.

Hakim Jamil kemudian memerintahkan kedua-dua pihak menyerahkan nota prosiding pada 12 Jun ini, untuk mahkamah meneliti nota tersebut dan dibandingkan dengan transkrip rakaman mahkamah (CRT) bagi menentukan ketepatannya.

“Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 26 Jul dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept,” katanya.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula 21 Mei 2021 ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad dan bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Pada 13 Sept 2018, Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, iaitu cek RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013, manakala RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.