
Ketua Ekonomi Bank Islam, Afzanizam Abdul Rashid dan profesor ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, senario ekonomi semasa berbeza dengan era 90-an sewaktu Mahathir menjadi perdana menteri.
Afzanizam berkata, sistem perbankan Malaysia pada masa ini mempunyai permodalan yang baik, sangat cair dan mempunyai kualiti aset kukuh.
Semasa krisis kewangan Asia, modal mengalir keluar dari Malaysia pada kadar yang besar. Mengambil kira perkara ini, Afzanizam berkata, ekonomi Malaysia berada dalam bahaya dan Mahathir membuat langkah yang betul apabila, pada September 1998, beliau mengenakan langkah kawalan modal terpilih, termasuk penetapan kadar pertukaran.

Langkah itu bertahan sehingga 2005.
“Idea paling penting ialah tambatan mata wang adalah satu bentuk dasar ekonomi berdasarkan keadaan ekonomi tertentu,” kata Afzanizam kepada FMT.
“Pada masa ini, nampaknya langkah sedemikian mungkin tidak perlu kerana aktiviti ekonomi tidak terganggu oleh pergerakan mata wang yang tidak menentu.”
Ringgit berada pada aras RM4.382 berbanding dolar AS pagi semalam, manakala RM4.228 berbanding dolar bulan lalu.
Semalam, Mahathir juga berkata, penurunan itu tidak akan berlaku jika nilai ringgit ditetapkan dan dijamin oleh kerajaan. Tambahnya, menambat ringgit kepada dolar AS akan menghalang peniaga mata wang daripada menurunkan nilai ringgit dengan menjualnya dalam kuantiti yang banyak.
Mahathir dipetik berkata bahawa kejatuhan ringgit berbanding dolar baru-baru ini adalah kerana nilainya tidak tetap dan dijamin oleh kerajaan.
“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dolar AS dan kita jamin bekalan dolar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu dolar AS, maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik.
“Peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya,” katanya.
Mahathir berkata, walaupun tindakannya itu pada mulanya dikritik, institusi kewangan seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa kemudian mengakui bahawa dasar itu menghentikan turun naik nilai ringgit dan membantu memulihkan kewangan negara.

Yeah berkata, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa kelemahan ringgit semasa mungkin bersifat sementara.
Beliau berkata, turun naik dalam nilai ringgit dijangka mengambil kira perang di Ukraine, pergelutan berterusan China dengan wabak Covid-19 dan kadar inflasi yang tinggi di AS.
Beliau juga berkata, ekonomi tidak berada di bawah “serangan besar-besaran” oleh spekulator mata wang dan ringgit, tidak seperti mata wang Rusia, Turki dan Sri Lanka dan tidak menghadapi kejatuhan nilainya.
Beliau memberi amaran bahawa pelabur asing akan “lari daripada pasaran” jika “langkah drastik”, seperti menambat ringgit kepada dolar AS, dilaksanakan.
Dasar itu boleh menjejaskan kestabilan ekonomi, katanya.
“Malah kita melihat pertumbuhan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan aliran masuk portfolio, walaupun dalam kemelesetan,” katanya.
“Terdapat penurunan mendadak dalam FDI pada 2020, tetapi kita telah pulih dan itu mengurangkan kebimbangan FDI menghindari Malaysia.
“Satu lagi penunjuk penting sekarang ialah aliran portfolio kita dan peningkatan rizab negara, yang merupakan petunjuk kita menguruskan kejutan semasa dengan cukup baik.
“Apa yang penting untuk diperhatikan di sini ialah negara stabil dari segi kewangan dan ekonomi dan pemulihan ekonomi kita akan memberikan kekuatan untuk mendapatkan semula kejelasan dalam keadaan kewangan global yang tidak menentu ini.”