Saya masih ketua menteri Melaka, kata Sulaiman

Saya masih ketua menteri Melaka, kata Sulaiman

Sulaiman Md Ali menafikan meletak jawatan dan memaklumkan dakwaan itu hanya berniat mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri diterajuinya.

Sulaiman Md Ali meminta semua pihak dalam Umno bermuhasabah bagi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha memenangi PRU15.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali mengakui masih menjawat jawatan itu dan akan terus berkhidmat sehabis baik dan sedaya upaya selagi dikehendaki pucuk pimpinan.

Beliau turut menafikan meletak jawatan dan memaklumkan bahawa dakwaan itu hanya berniat mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka November lalu.

“Isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutama ketika Umno dan BN Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang telah hilang semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Media melaporkan pada 8 Mei lalu, Timbalan Ketua Umno Melaka, Mohamad Ali Mohamad menyifatkan khabar angin Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan ketua menteri negeri itu sebagai fitnah dan tidak berasas.

Katanya, Sulaiman akan terus memegang jawatan berkenaan sehingga tamat penggal seperti dipersetujui sebelum ini.

Pucuk pimpinan tertinggi Umno dan lima ketua bahagian di Melaka, iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah juga mempertahankan Sulaiman sebagai ketua menteri.

Sementara itu, Sulaiman meminta semua pihak dalam Umno bermuhasabah bagi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha memenangi PRU15.

“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti,” katanya.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.