
Malaysia akan berdepan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir.
Undian hari ini juga menyaksikan juara bertahan Indonesia bertemu China dan merupakan seperti ulangan final tahun lepas sementara juara Kumpulan C, Taiwan akan menentang Jepun.
Mengulas mengenai undian itu, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tim Jones berkata, skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran India kerana ia mempunyai barisan pemain yang mantap pada edisi tahun ini.
“Bagaimanapun kami berasa yakin selepas berdepan dengan Jepun dan sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini. Ayuh ke suku akhir,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi cabutan undian itu.
Tim juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas juara 2014, Jepun terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir menentang India.
Sementara itu, pemain perseorangan nombor satu negara, Zii Jia percaya perlawanan suku akhir kali ini adalah seimbang selepas beberapa pemain ternama seperti Kento dari Jepun dan wakil Indonesia Anthony Sinisuka Ginting bergelut dengan prestasi masing-masing ketika ini.
Terdahulu, Zii Jia mengatasi pesaing utamanya Kento Momota 21-17, 21-8 untuk membantu Malaysia muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan Jepun 3-2.
Pada masa sama, ketua pasukan Aaron Chia yang bergandingan dengan bekas teman regunya dalam edisi 2018, Teo Ee Yi menyumbang mata kemenangan Malaysia dengan mengatasi beregu Jepun, Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17 dalam perlawanan yang sungguh menarik.