PAS buka ‘pintu rundingan’ kepada parti serius bela ummah

PAS buka ‘pintu rundingan’ kepada parti serius bela ummah

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata soal penyatuan ummah parti itu bukan hanya terhad kepada Umno semata-mata.

PAS bersikap terbuka dan sedia membuka ‘pintu rundingan’ kepada parti termasuk Amanah sekiranya memenuhi matlamat penyatuan ummah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dasar penyatuan ummah parti itu bukan hanya terhad kepada Umno semata-mata, malah melibatkan mana-mana parti dengan syarat ia serius membela agenda berkenaan.

Katanya, PAS bersikap terbuka dan sedia membuka “pintu rundingan” kepada parti termasuk Amanah sekiranya memenuhi matlamat penyatuan ummah itu.

Menurutnya, perkara itu disebut oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa penyatuan ummah bukan hanya dalam kalangan PAS dan Umno sahaja.

“Kita terbuka dan saya pernah membuat kenyataan dengan Amanah pun kita boleh bincang dengan syarat tinggalkan Pakatan Harapan (PH), tinggalkan DAP.

“Itu sikap kita, makna ‘we are open’ (kita terbuka). Khemah kita sekarang lebih besar daripada khemah PH lagi,” katanya di Kota Bharu menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium yang dirasmikan Menteri Besar Ahmad Yakob.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, masalah yang timbul berpunca daripada politik peribadi sesetengah pemimpin Umno dan PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk memutuskan hubungan.

Katanya, PAS menunggu perkembangan semasa dan pada masa sama turut mengharapkan Umno berfikir semula demi kepentingan ummah dan negara.

Beliau turut meminta pemimpin Umno menyelesaikan dahulu kecelaruan yang didakwa berlaku dalam parti itu.

“Kita tak pernah buat keputusan untuk berpisah dan yang putuskan hubungan dalam MN adalah Umno. Sekarang masalah dalam Umno, bukan masalah kita.

“PAS tak pernah buat kenyataan MN sudah putus dan yang buat kenyataan adalah Umno Kelantan dan yang isytihar dari awal nak lawan PAS adalah Umno Terengganu.

“Kita tengok kecelaruan dalam MN kerana adanya kepentingan politik peribadi dalam kalangan sesetengah pemimpin Umno. Jadi mereka kena selesaikan dan minta fikir semula. Kita tak pernah tutup pintu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.