
Peguam hak asasi haiwan, Rajesh Nagarajan berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penzahiran, selain mengarahkan lembaga itu memfailkan afidavit dan mengemukakan butiran laporan aktiviti badan itu sejak penubuhannya.
Rajesh berkata, beliau dan pasukannya memfailkan saman penzahiran terhadap lembaga berkenaan selepas badan itu enggan mendedahkan aktivitinya kepada mereka. Lembaga terbabit katanya, menyatakan bahawa apa sahaja yang dilakukannya adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Kami beranggapan sejak tujuh tahun lalu, Lembaga Kebajikan Haiwan gagal melaksanakan fungsinya. Itulah sebabnya kami meminta lembaga berkenaan membuktikan ia sudah melaksanakan tugasnya,” katanya kepada FMT.

Lembaga Kebajikan Haiwan merupakan badan berkanun bawah Parlimen yang ditubuhkan mengikut Seksyen 4 Akta Kebajikan Haiwan 2015. Badan itu bertanggungjawab memantau institusi, menyediakan pendidikan dan mempromosi kebajikan haiwan, termasuk menasihati menteri berhubung hal ehwal kebajikan haiwan.
Sambil mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Rajesh berkata, adalah membimbangkan bahawa tidak banyak yang diketahui mengenai badan itu.
Beliau yakin perkara sebenar berhubung aktiviti lembaga atau kurangnya aktiviti akan terdedah juga akhirnya dan mampu membuka jalan lebih baik bagi melindungi haiwan di Malaysia.