
Tertuduh, Ahmad Zawawi Ahmad Taufek, 21, dari Arau, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terhadap remaja bermasalah pembelajaran, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.
Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja tanpa kerelaan mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu di sebuah rumah tidak bernombor, di Padang Besar, sekitar 3 pagi, pada 17 Sept 2020.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau tidak kurang daripada 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Perlis Lee Jun Keong, manakala tertuduh diwakili peguam Afida Nurizzatie Abdul Lateh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Lee memohon mahkamah supaya menetapkan jumlah RM20,000 sebagai wang jaminan bersama dua penjamin namun Afida merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang dengan pendapatan sekitar RM1,300.
Selain itu, Afida dalam rayuannya berkata, anak guamnya juga mempunyai tanggungan tiga orang anak serta mempunyai ibu yang hanya menjual nasi lemak serta bapa tirinya yang tidak bekerja disebabkan sakit tulang belakang.
Mahkamah membenarkan rayuan tertuduh dengan menetapkan RM15,000 sebagai wang jaminan bersama seorang penjamin, lapor Berita Harian.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen.