Jasa tak dilupakan, orang ramai kumpul RM23,000 bantu ibu sakit

Jasa tak dilupakan, orang ramai kumpul RM23,000 bantu ibu sakit

V Thenmoli berterima kasih kepada FMT dan pembaca kerana membantu beliau membayar hutang dan bil perubatan.

V Thenmoli menderita masalah darah beku.
PETALING JAYA:
V Thenmoli, yang menderita masalah darah beku sehingga menjejaskan pernafasannya, kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya melunaskan kos rawatan dan bil tertunggak hasil kemurahan hati orang ramai.

Setakat 11 Mei, sebanyak RM23,000 berjaya dikumpulkan, kata sepupunya Maneesha Purushothaman.

FMT menyiarkan laporan pada 10 Mei lalu mengenai penderitaan Thenmoli dan kesukarannya untuk membesarkan dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun yang terpaksa mengerah kudrat menjaga ibu mereka yang sakit itu dengan sebaik mungkin.

Maneesha, 26, ketika mengucapkan terima kasih kepada FMT kerana mengetengahkan penderitaan Thenmoli berkata, dana yang dikumpulkan itu sedikit sebanyak meredakan beban kewangan keluarga berkenaan.

“Kami sungguh berterima kasih kepada semua orang atas kemurahan hati mereka dan tidak akan melupakan jasa ini,” katanya.

Maneesha berkata, mereka berjaya melunaskan sewa selama setahun, bil utiliti dan bekalan tangki oksigen selama sebulan hasil wang yang diterima itu.

Katanya, beliau dan Thenmoli masing-masing terharu dengan sokongan dan bantuan kewangan yang diberikan oleh orang ramai.

“Begitu ramai yang menghubungi kami untuk mendapatkan alamat Thenmoli kerana mahu menziarahinya minggu ini untuk mendermakan barang dapur dan pakaian,” katanya.

Malah tidak kurang yang sanggup membiayai kos pengangkutan serta persekolahan dua anak Thenmoli itu.

Selain itu katanya, beberapa ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang, selain NGO, turut menghubungi mereka untuk turut menghulurkan bantuan kewangan dan penjagaan kesihatan.

“Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menelefon kami dan memaklumkan mereka mempertimbangkan untuk menambah elaun bulanannya,” katanya.

Tambahnya, mereka turut mengasingkan sedikit wang derma itu untuk membiayai kos rawatan Thenmoli, iaitu antara RM6,000 hingga RM8,000.

“Saya berharap rawatan itu dapat mengurangkan kesakitannya dan membolehkannya menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Thenmoli turut menyuarakan rasa lega dan terima kasih kepada semua yang membantunya.

“Saya tidak lagi perlu risaukan anak-anak, sama ada mampu memberi mereka makan… terima kasih banyak-banyak,” katanya kepada FMT.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu Thenmoli, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.