
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, arahan itu dibuat bukan kerana isu “pendedahan” insiden beberapa doktor junior dibuli serta dihina oleh doktor senior dan doktor pakar dalam tempoh latihan selama dua tahun.
“Itu arahan biasa. Hanya (pihak) yang dibenarkan buat kenyataan untuk buat kenyataan.
“Bukan berkaitan dengan kes ini (pendedahan doktor junior dibuli). Lebih penting ambil serius semua tuduhan yang telah dibuat,” katanya kepada media ketika ditemui dalam majlis Hari Jururawat Antarabangsa di sebuah hotel di Putrajaya.
Terdahulu, FMT melaporkan satu arahan bertajuk “Polisi Larangan” yang mengingatkan kakitangan KKM agar tidak membuat sebarang kenyataan kepada media secara langsung atau semasa berucap dan memberi syarahan dalam forum.
Mereka juga dilarang menyiarkan pandangan dalam sebarang platform yang boleh memburukkan nama kerajaan.
“Warga KKM dilarang membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada berbentuk lisan, bertulis atau apa-apa cara lain,” katanya dalam buletin di laman web itu, yang biasanya mengandungi empat atau lima perkara yang mempunyai nilai berita atau notis acara yang bakal diadakan.
Isu doktor pelatih dibuli mendapat perhatian baru-baru ini susulan kematian seorang doktor pelatih yang terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu, hanya tiga minggu selepas beliau ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.
Khairy memberi jaminan KKM akan menjalankan siasatan secara adil dan telus kepada rakyat.
Bagaimanapun katanya, siasatan tidak boleh dijalankan berdasarkan aduan di media sosial sahaja.
“Memang saya buat pendirian untuk tidak banyak cakap dan keluar kenyataan sebab ramai ada pandangan berbeza-berbeza. Tuduhan ini dibuat di media sosial, bukan saya remehkan tuduhan itu.
“Tetapi bila kena ambil tindakan pada mana-mana pihak, ia mesti melalui siasatan yang betul dan tidak boleh dibuat di media sosial sahaja.”