Apa status RUU Pendanaan Politik, soal kumpulan ahli Parlimen

Apa status RUU Pendanaan Politik, soal kumpulan ahli Parlimen

Rang undang-undang itu sepatutnya dibentang awal 2020, namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, untuk mendapatkan sokongan bagi pembentangan rang undang-undang itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mempersoal status Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sudah dirangka yang sepatutnya dibentangkan, dua tahun lalu.

Status RUU tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat kedua melibatkan beberapa kumpulan masyarakat sivil, termasuk Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Badan Peguam Malaysia, Rasuah Busters dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

“Sehingga kini, masih tiada sebarang kemas kini mengenai RUU ini manakala organisasi masyarakat sivil, Ahli Parlimen mahupun senator juga tidak mempunyai capaian terhadap RUU Pendanaan Politik.

“Kekurangan ketelusan serta keterlibatan ini tidak menunjukkan petanda baik kepada kemajuan pembaharuan institusi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KRPPM juga bersetuju dengan beberapa prinsip utama pendanaan politik seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban, larangan terhadap pendanaan asing, menghadkan jumlah sumbangan yang boleh dilakukan individu dan syarikat, serta melarang sumbangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain yang mempunyai konflik kepentingan.

KRPPM berharap dapat bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam masa terdekat untuk berkongsi usaha dilakukan mengenai perundangan pendanaan politik dan mendapatkan sokongan membentangkan RUU itu.

“KRPPM menaruh harapan untuk mendapatkan sokongan semua Ahli Parlimen merentasi semua parti politik supaya dapat mengutamakan pendanaan politik yang telus sebagai suatu asas demokrasi yang sihat, matang serta bertenaga,” menurut kumpulan itu.

Keanggotaan KRPPM terdiri daripada Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Ahmad Fadhli Saari sebagai pengerusi; Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Wong Shu Qi (DAP-Kluang), Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Saifuddin Abdullah (Bersatu-Indera Mahkota).

Selain itu, kumpulan itu turut dianggotai Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun), Ahmad Maslan (Umno-Pontian), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) dan Larry Sng (Parti Bangsa Malaysia-Julau), manakala senator pula ialah Fadhlina Sidek daripada PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.