54,000 ahli PKR ‘meragukan’ masalah ‘legasi’, masih boleh undi

54,000 ahli PKR ‘meragukan’ masalah ‘legasi’, masih boleh undi

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR berkata, pengundi 'meragukan' itu dibenarkan mengundi, tetapi tertakluk kepada lapisan pemeriksaan tambahan.

Dr Zaliha Mustafa berkata, ahli PKR yang meragukan itu perlu mengisi Borang 11 di pusat mengundi sebelum mereka dibenarkan mengundi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
PKR membenarkan sebahagian ahlinya yang dianggap “meragukan” oleh Rafizi Ramli untuk mengundi dalam pemilihan parti, tetapi mereka tertakluk kepada lapisan pemeriksaan tambahan selepas mengundi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, ahli itu akan diletakkan dalam kategori khas “pengundi meragukan” dan diminta mengisi borang sebelum mereka dibenarkan mengundi.

Baru-baru ini, Rafizi yang bertanding jawatan timbalan presiden, mendakwa kira-kira 54,000 nama dalam senarai keahlian kelihatan “meragukan”, tetapi mereka layak mengundi, selain 1,500 daripada mereka mempunyai nombor telefon sama.

Zaliha berkata, dakwaan pengundi meragukan itu berpunca daripada sistem keahlian legasi yang berkembang daripada borang keahlian manual kepada sistem dalam talian sekarang.

Katanya, ia juga mungkin disebabkan data salah yang dimasukkan untuk mengelakkan tindakan keras pihak berkuasa ketika kemuncak era reformasi pada 1998.

“Kita tidak boleh menafikan hak mengundi mereka. Dalam keadaan seperti ini, kami meletakkan mereka dalam kategori ‘pengundi meragukan’ dan mereka akan dibenarkan mengundi. Mereka juga perlu mengisi Borang 11 di pusat mengundi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jika dakwaan Rafizi berhubung 54,000 ahli meragukan benar, margin kesilapan adalah rendah, iaitu 4.5% daripada 1.2 juta ahli yang layak mengundi.

“Margin kesilapan adalah jumlah munasabah untuk mana-mana organisasi yang mempunyai bilangan ahli ramai seperti PKR.”

Zaliha berkata, JPP berpendapat daftar keahlian perlu dibersihkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Katanya, aplikasi “Adil” – aplikasi rasmi PKR – akan membantu menyelesaikan perkara berkaitan dakwaan keahlian meragukan.

“Rafizi, yang pernah menjadi setiausaha agung, patut lebih mengetahui sistem legasi itu berhubung rekod keahlian sejak 1999.

“Rekod keahlian itu sebelum ini dikemas kini secara manual dari semasa ke semasa sehingga Adil diperkenalkan baru-baru ini. Saya yakin pemilihan parti masa depan akan bergantung kepada rekod yang dikemas kini dengan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan).”

Proses pengundian secara fizikal akan bermula esok hingga 17 Mei ini, disusuli undian dalam talian dari 18 hingga 20 Mei nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.