2 warga emas mengaku tak salah guna cap jari orang mati pindah milik tanah

2 warga emas mengaku tak salah guna cap jari orang mati pindah milik tanah

Dua rakan itu didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen 'Power of Attorney' yang memberi kuasa memindah milik apa-apa cagaran.

Tertuduh Mhd Kaim Tukimon, 70, Ibrahim Mahidin, 61, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
PETALING JAYA:
Dua warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas dakwaan bersubahat menggunakan surat mengandungi cap jari individu meninggal dunia bagi pemindahan milik tanah, enam tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh yang juga rakan, Mhd Kaim Tukimon, 70, peniaga dan Ibrahim Mahidin, 61, sebagai penulis surat dan urusan tanah berdepan empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen “Power of Attorney” antaranya dengan Che’ Nah Arshad (yang telah meninggal dunia).

Dokumen itu memberi kuasa kepada seseorang bagi memindah milik apa-apa cagaran berharga.

Selain itu, mereka juga menggunakan dokumen perjanjian jual beli dan maklumat pindah milik dan gadaian dengan semuanya adalah palsu seperti diperihalkan mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan (KK).

Memetik laporan Kosmo, semua perbuatan itu dilakukan di unit pendaftaran tanah Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, pada 2 Di 2015 dan 24 Nov 2016.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 109 KK dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 467 KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 terhadap Kaim dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap awal bulan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Ibrahim pula tidak diberikan jaminan susulan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selama sembilan tahun bermula 11 Jan lalu untuk kes lain.

Sebutan semula kes ditetapkan 23 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.