
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, berkata dengan penahanan suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan empat kes pemerasan di daerah Kuching dan Serian.
Menurutnya, semakan mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Sejak 2021 hingga kini, polis Sarawak menerima 35 laporan kes pemerasan video lucah menggunakan media sosial di Sarawak.
“Daripada jumlah itu, 29 kes dilaporkan pada 2021 membabitkan kerugian berjumlah RM114,730, manakala enam laporan diterima membabitkan kerugian sebanyak RM22,000 pada Jan hingga Apr tahun ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Menurutnya, sindiket terbabit menggunakan taktik menghubungi mangsa menerusi aplikasi media sosial dengan menyamar sebagai wanita seksi yang hendak mencari kenalan.
“Kebanyakan mangsa adalah lelaki berusia 18 hingga 47 tahun yang diperdaya menerusi aplikasi MiChat, Facebook, WeChat dan Whatsapp. Sindiket turut membuat panggilan video dan mempamerkan aksi lucah bagi memperdayakan mangsa,” katanya.
Katanya, pihaknya kini giat memburu suspek lain termasuk keldai akaun yang terbabit dalam sindiket berkenaan.