PRU15: Mat Said mula umum calon Umno Terengganu

PRU15: Mat Said mula umum calon Umno Terengganu

Ketua Umno negeri Ahmad Said mengumumkan calon bagi Parlimen Hulu Terengganu, Rozi Mamat.

Rozi Mamat diumum sebagai calon bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.
PETALING JAYA:
Umno Terengganu menjadi negeri pertama mengumumkan secara rasmi calonnya menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Selepas direstui dan disokong penuh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Umno negeri, Ahmad Said, berkata Parlimen Hulu Terengganu akan ditandingi Rozi Mamat.

“Pada PRU14, beliau mendapat undi terbesar di Terengganu dengan majoriti 4,159 undi. Insya-Allah kita yakin Parlimen Hulu Terengganu jadi milik Umno dan Rozi selepas ini.

“Di samping itu, kita menyasarkan sekurang-kurangnya tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) di Parlimen ini kembali kepada Umno,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Rozi juga merupakan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu, merangkap ADUN Telemong.

Kerusi Parlimen Hulu Terengganu menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dengan ia dimenangi Rosol Wahid pada PRU14, sebelum pemimpin itu melompat ke Bersatu.

Rozi yang pertama kali bakal bertanding di kerusi Parlimen itu mempamerkan rekod cemerlang selepas mempertahankan DUN Telemong selama empat penggal, sejak 2004.

Pada PRU lalu, BN hanya menang di DUN Telemong dan tewas di Manir, Ajil dan Kuala Berang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.