

Di tengah-tengah desakan untuk menyekat perhijrahan cendekiawan dari Johor ke republik itu, Khaled berkata, beliau tidak melihat tarikan Singapura sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang bagi rakyat Johor memperbaiki nasib mereka dan membantu negeri itu meningkatkan ekonominya.
“Kita patut lihat Singapura sebagai tempat di mana rakyat Malaysia boleh meraih pendapatan lebih tinggi dan memperoleh pengalaman berharga,” katanya.
“Ia adalah hab antarabangsa, menjadikannya lapangan yang tepat untuk melatih bakat tempatan.
“Kita sepatutnya memudahkan perjalanan merentas sempadan kerana ini akan membantu ekonomi Johor.”
Ketua DAP Johor Liew Chin Tong baru-baru ini berkata, perniagaan di Johor mesti membayar sekurang-kurangnya dua pertiga daripada gaji yang dibayar oleh majikan Singapura untuk memastikan rakyat Malaysia kekal di sini.
Isnin lepas, Hasni Mohammad, seorang lagi bekas menteri besar Johor, menggesa agar dasar digubal bagi menangani masalah perhijrahan cendekiawan.
Antara lainnya, beliau mencadangkan usaha untuk memudahkan perniagaan di Johor dan menarik pelaburan yang akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Khaled berkata, tiada penyelesaian jangka pendek yang dapat menangani perbezaan kadar tukaran antara dolar Singapura dan ringgit.
“Jadi kita tidak perlu terlalu risau tentang orang bekerja di Singapura dan lebih fokus kepada memastikan ekonomi Johor sebebas, semesra pelabur dan berorientasikan pasaran yang mungkin untuk mencapai potensi negeri itu sebagai jiran rapat Singapura,” katanya.
“Lebih baik kita mudahkan perjalanan rentas sempadan dan biarkan rakyat tentukan apa yang terbaik untuk diri mereka. Sebaik sahaja kita lancarkan perjalanan merentas sempadan menerusi projek seperti sistem transit pantas, Johor akan menjadi satu lagi kuasa ekonomi.”
Ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata, Johor harus mengukuhkan industri pelancongan perubatannya, pertanian dan logistik untuk memanfaatkan kehampirannya dengan Singapura.
“Fokusnya mesti untuk menjadikan Johor lebih berdaya saing, terutamanya dalam tiga bidang ini,” katanya.
“Ini harus dilakukan melalui pembaharuan berorientasikan pasaran bebas.
“Semestinya, cabaran sebenarnya adalah untuk memastikan agenda pembaharuan berorientasikan pasaran bebas. Tak banyak yang dapat dilakukan oleh Johor sendiri.”