
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Vazeer Alam Mydin Meera berkata, hakim Mahkamah Tinggi tersilap membebaskan penjaja, Usuf Matli selepas penutupan kes pendakwaan.
“Kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie selepas mempertimbangkan keterangan seorang kanak-kanak bersama saksi lain, kelakuan responden (Usuf) dan keterangan mengikut keadaan lain,” katanya ketika membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Vazeer berkata, bukti menunjukkan Usuf adalah orang terakhir yang dilihat bersama mangsa – Salamah Yusof, Fatimas Ali dan kanak-kanak itu, Asnawi Ahmad.
Umur mereka tidak dapat ditentukan kerana semuanya membawa pasport Kemboja.
Vazeer, yang bersidang bersama Ahmad Nasfy Yasin dan Hashim Hamzah berkata, Usuf juga telah membantu polis menemui mayat mereka.
“Rayuan pihak pendakwaan ada merit dan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Usuf diketepikan,” katanya.
Vazeer berkata, Usuf akan membela diri di hadapan hakim perbicaraan yang sama. Pengurusan kes akan diadakan pada 18 Mei.
Mahkamah juga menangguhkan rayuan Usuf terhadap sabitan kes pembunuhan seorang lagi kanak-kanak, Rahimy Yusuf.
Usuf dikatakan membunuh keempat-empat mereka di ladang kelapa sawit Felcra di Batu 7 Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor.
Kejadian itu dikatakan berlaku antara 3 pagi dan 1.30 tengah hari pada 9 Sept 2016.
Mahkamah juga diberitahu sekumpulan warga Kemboja telah membina petempatan berhampiran ladang itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron manakala Rosal Azimin Ahmad, Nabil Ashraff Redzuan dan Najiah Zaimah Aris mewakili Usuf.