
Dalam kejadian kira-kira 2 petang, telinga kiri mangsa berusia 35 tahun itu juga dilaporkan hampir putus akibat serangan lelaki terbabit.
Ketua Polis Kinabatangan, Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pada 2.40 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang bayi perempuan berusia enam bulan telah meninggal dunia akibat ditetak di bahagian kepala.
“Ibunya pula parah di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus akibat tetakan,” katanya ketika dihubungi.
Dzulbaharin berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Katanya, polis kemudian berjaya mengesan dan menangkap suspek di kawasan kebun sawit di lokasi sama.
“Polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek berusia 60 tahun yang juga warga Filipina itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kinabatangan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan suspek akan direman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.