
Saarani yang juga exco agama negeri berkata, beliau enggan mengulas perkara yang tidak sahih.
Beliau turut mengakui menonton rakaman video itu, namun tidak dapat memastikan individu tersebut adalah tokoh agama yang dimaksudkan.
“Saya tak ada maklumat sahih tentang itu, tak ada. Saya pun sudah tengok video itu, tak nampak macam betul rupanya, jadi, saya tak berani nak komen, sebab tak ada satu pun maklumat sahih.
“Saya ada baca blog, saya tengok apa yang disampaikan oleh Zaharin Mohd Yasin, tapi, saya tak boleh komen apa-apa sebab saya tak ada maklumat rasmi dan sah.
“Tak cantiklah kalau saya membuat komen benda yang saya tak ada maklumat yang sah dan rasmi. Saya tak mahulah pula menjadi pemanjang cerita-cerita yang tak pasti, belum saya tak dapat lagi (maklumat rasmi) melainkan di media sosial,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini.
Saarani ditanya mengenai satu rakaman video memaparkan seorang lelaki didakwa sebagai tokoh agama berada di kelab malam sambil mengetuk drum angin.
Tokoh agama itu dikatakan merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam.
Video itu tular selepas dikongsi pengguna media sosial sejak 2 Mei lalu.
Rakaman berdurasi 3 minit 24 saat itu menampilkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi.
Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk drum dengan muzik latar yang bising.