
Menerusi kenyataan Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia hari ini, perkara itu adalah antara intipati kunjungan hormat delegasi Parlimen Perancis terhadap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim di bangunan Parlimen semalam.
Menurut kenyataan itu, kunjungan hormat itu bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia wujud antara institusi Parlimen dua negara berkenaan.
“Persefahaman turut terbentuk untuk menghantar dan menerima pegawai-pegawai Parlimen dari kedua-dua belah pihak untuk mempelajari sistem pentadbiran dan perundangan Parlimen masing-masing,” menurutnya.
Pertemuan itu antara lain juga menyentuh isu tindakan sekatan dan halangan perdagangan yang dikenakan Perancis dan Kesatuan Eropah terhadap pasaran minyak sawit serta kepentingannya sebagai sumber kewangan negara secara menyeluruh.
Selain itu, turut dibincangkan adalah hasrat mewujudkan proses dialog dalam mempelajari sistem perundangan dan pembahagian kuasa di Malaysia (antara kerajaan persekutuan dan negeri), peranan Parlimen sebagai tonggak demokrasi dan suara rakyat, penglibatan generasi muda dalam politik dan pentadbiran negara serta pembentukan persefahaman (budaya dan agama) antara negara Barat dan Timur.
Delegasi seramai enam orang itu diketuai Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara Mathieu Darnaud.
Turut hadir adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon, dua Ahli Dewan Negara Senator Koh Nai Kwong dan Senator Bobbey Ahfang Suan, serta Setiausaha Dewan Negara Mohd Sujairi Abdullah dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.