
Irene Xavier daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor berkata, keputusan itu bersifat diskriminasi dan pengecualian itu menunjukkan kerajaan tidak menganggap pembantu rumah layak menerima gaji RM1,500.
“Kenapa mereka berfikir seperti ini? Kenapa undang-undang mengecualikan pembantu rumah sedangkan undang-undang sepatutnya untuk semua orang?” soalnya.
Beliau berkata, prejudis berdasarkan jantina mungkin membentuk pemikiran kerajaan kerana kebanyakan pembantu rumah adalah wanita.
Katanya, pengecualian pembantu rumah daripada Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa 1 Mei lalu sama seperti Perintah Gaji Minimum 2020.
Xavier berkata, pembantu rumah masih tidak berhak mendapat hak seperti bayaran lebih masa, hari cuti dan had waktu bekerja.
Katanya, adalah mudah bagi kerajaan untuk mengecualikan pembantu rumah di negara ini daripada sebarang perundangan gaji minimum kerana mereka tidak mempunyai kesatuan sekerja dan tidak menganjurkan mogok.
Pengecualian melahirkan kaedah penindasan gaji
Ahli ekonomi, Firdaos Rosli dari MARC Ratings berkata, pengecualian pembantu rumah membuka ruang kepada kaedah untuk majikan menekan gaji secara tidak adil.
Katanya, perlu ada satu gaji minimum yang boleh diguna pakai ke atas semua orang dan Majlis Perundingan Gaji Negara tidak patut mengekalkan pengecualian itu apabila kadar gaji minimum RM1,500 dibuat melalui semakan.