
Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu berkata, pihak Kementerian Pengangkutan dan Mavcom perlu tampil mencari penyelesaian terbaik.
“Meskipun perihal industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, saya akan campur tangan sekiranya hak pengguna terkait sama.
“Saya juga dimaklumkan bahawa AirAsia akan memberikan maklum balas lengkap terhadap isu yang diketengahkan pengguna menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh 24 jam ini,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Semalam, Nanta berkata, KPDNHEP akan menjalankan siasatan dari segi kepentingan pengguna dalam hal terbabit.
Mengambil maklum rungutan, aduan dan keluhan pengguna, Nanta berkata, isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlarutan sejak hujung bulan lepas.
Dalam pada itu Nanta berkata, pihaknya serius dalam menjalankan siasatan.
“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini. Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP.
“Pihak saya membuat penelitian awal (dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa KPDNHEP) dan terus menghubungi pengurusan AirAsia bagi mendapatkan maklum balas lanjut,” katanya.
Nanta semalam memaklumkan bahawa pengguna perkhidmatan penerbangan berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan namun tertakluk kepada beberapa faktor dan punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada laman Mavcom.
Pampasan itu merangkumi makanan, bil panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih, penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan dibatalkan.