Belum bincang tubuh jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN, kata Umno

Belum bincang tubuh jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN, kata Umno

Timbalan Ketua Umno Sabah Yakub Khan berkata Umno/BN Sabah setakat ini masih belum memikirkan hala tuju mereka dalam GRS.

Timbalan Ketua Umno Sabah Yakub Khan ditemui selepas menyaksikan MoU antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bersama Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Forest Interactive Foundation hari ini.
KOTA KINABALU:
Penubuhan jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) seperti diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor, semalam, belum dibincang parti itu.

Timbalan Ketua Umno Sabah Yakub Khan berkata, Umno dan BN Sabah setakat ini masih belum memikirkan hala tuju mereka dalam GRS namun tidak menolak kemungkinan perbincangan mengenai kerjasama antara dua gabungan berkenaan akan dibuat pada masa akan datang.

“Berhubung kolaborasi (dengan) GRS ini, ia belum sampai ke peringkat perbincangan bersama BN. Di pihak GRS mungkin sudah mengambil langkah untuk berfikir tentang hala tuju GRS tetapi belum lagi sampai ke peringkat kita.

“Insya-Allah, ia akan sampai di peringkat perbincangan GRS dengan BN dalam kolaborasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) bersama Jawala Plantation Industries Sdn Bhd (JPISB) dan Forest Interactive Foundation (FIF), di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hajiji yang penubuhan jawatankuasa terbabit bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, Yakub berkata ia hanya pandangan peribadi pengerusi GRS itu.

“Itu adalah pandangan beliau (Hajiji), di pihak BN belum ada komen lagi,” katanya.

Semalam, Hajiji berkata, GRS bakal dilancarkan secara rasmi pada 26 Mei ini dengan Usno menjadi parti terbaharu menyertai gabungan berkenaan.

Dalam sidang medianya, beliau turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN bagi mengukuhkan hubungan antara gabungan itu selain bagi mengelak pertembungan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.