Kanak-kanak cilik pikul tugas ‘dewasa’ urus ibu sakit

Kanak-kanak cilik pikul tugas ‘dewasa’ urus ibu sakit

Pritib Narayanan, 7 dan adiknya Kavya Sree, 5, memikul tanggungjawab menjaga ibu mereka yang terkesan dengan obesiti dan penyakit kencing manis.

Dengan linangan air mata, V Thenmoli menceritakan bagaimana anak-anaknya yang berusia tujuh dan lima tahun membantu menguruskannya di rumah.
PETALING JAYA:
Pada usia tujuh dan lima tahun, Pritib Narayanan dan adiknya Kavya Sree terpaksa memikul tugas orang dewasa menjaga ibu mereka yang sakit.

Selepas pulang dari sekolah dan tadika, mereka memastikan ibu mereka, V Thenmoli, sudah makan, mandi, bertukar pakaian dan mengambil ubat-ubatnya.

“Anak-anak saya, terutamanya yang sulung, sentiasa membantu saya. Malah (Pritib) kadang-kadang tidak dapat hadir ke sekolah kerana menemani saya ke hospital.

“Dia pakaikan saya baju, pegang tangan saya apabila berjalan, angkat kaki saya keluar dari kenderaan Grab kerana saya tidak dapat buatnya sendiri,” kata Thenmoli dengan linangan air mata.

Tonton video di sini.

“Dia jaga saya, walaupun sepatutnya saya yang jaga dia.”

Sejak dua tahun lepas, Thenmoli mengalami masalah pernafasan dan kesukaran bergerak, selain menghidap obesiti dan penyakit kencing manis.

Beliau sentiasa memerlukan oksigen daripada tangki untuk membantunya bernafas.

Thenmoli mengalami masalah pernafasan dan sentiasa memerlukan oksigen daripada tangki.

Difahamkan beliau menghidap embolisme pulmonari, iaitu gangguan bekuan darah yang mempengaruhi aliran darah ke paru-paru, namun doktor yang merawatnya di Hospital Putrajaya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai keadaannya.

Wanita berusia 40 tahun itu tidak dapat memelihara anak-anaknya dan bergantung kepada sifat murah hati jiran-jiran yang membantu memasak makanan, mencuci pakaian dan menghantar mereka ke sekolah.

Thenmoli dan anak-anaknya tinggal di rumah yang hampir tiada kelengkapan di sebuah estet kelapa sawit di Dengkil. Mereka hanya ada beberapa tilam di ruang tamu, sebuah kipas meja, kerusi dan altar, selain tangki oksigen dan ubat-ubatan kegunaan Thenmoli.

Beliau selalunya duduk di atas lantai simen yang kasar dan merekah di bilik tidurnya, merenung ke luar tingkap yang tidak berkaca dan mengimpikan beliau dapat keluar dari rumahnya.

“Saya rasa terperangkap di dalam bilik … saya boleh bergerak, cuma sukar. Jika saya jatuh, saya tak dapat bangkit semula,” katanya sambil menambah bahawa beliau hanya bergerak jika perlu.

Thenmoli, yang pernah bekerja sebagai pekerja pembersihan, sebelum ini berkahwin dengan seorang warga asing selama 13 tahun. Namun katanya, apabila beliau jatuh sakit, suaminya meninggalkannya tanpa sebarang sokongan dan bantuan kewangan.

Thenmoli bersama anak-anaknya, Kavya Sree, 5, dan Pritib Narayanan, 7.

“Saya diberi kata dua, beliau hanya akan jaga anak-anak jika dapat hak jagaan penuh. Saya tak dapat tunaikan, saya hanya ada anak-anak saya,” kata Thenmoli.

Beliau terbeban dengan hutang keliling pinggang dan banyak bil tertunggak yang tidak mampu dibayarnya memandangkan beliau tidak dapat bekerja.

Bekalan elektrik di rumahnya akan dipotong tidak lama lagi dan jika beliau tidak mampu membayar RM1,000 dalam masa terdekat, beliau tidak lagi dapat menggunakan tangki oksigennya.

Bagaimanapun sepupunya, Maneesha Purushothaman, 26 memberi sinar harapan dalam hidupnya dengan membantunya menggunakan wang yang diperolehi daripada kerja sambilan.

“Beliau tiada sesiapa yang dapat membantunya, jadi saya menghantar makanan dan membeli barangan runcit (untuk keluarganya) sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula. Saya masih membantunya sehingga kini, tetapi setakat mampu,” kata Maneesha kepada FMT.

“Baru-baru ini, beliau menghubungi saya dan memberitahu bahawa sudah dua minggu mereka hanya makan ala kadar. Jadi saya belikan barangan runcit untuk sebulan, yang menelan belanja kira-kira RM300 hingga RM400 kerana (Thenmoli) ada keperluan pemakanan khas.”

Katanya lagi, Thenmoli terpaksa mengurangkan penggunaan tangki oksigennya, yang berharga RM100 setiap satu, kerana beliau tidak mampu dan ini memburukkan lagi keadaannya. Beliau juga kurang pergi ke hospital disebabkan masalah pergerakannya dan ketiadaan wang untuk menampung kos pengangkutan.

Thenmoli menerima bantuan kewangan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu tidak banyak.

“Beliau perlu bantuan kewangan untuk bayar bil, beli barangan runcit, bayar yuran tadika anaknya dan juga untuk rawatannya,” kata Maneesha.

Sumbangan bagi keluarga Thenmoli dialu-alukan termasuk dalam bentuk pakaian untuk anak-anaknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di WhatsApp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.