50 pendatang asing Myanmar sembunyi dalam rumah kedai dicekup

50 pendatang asing Myanmar sembunyi dalam rumah kedai dicekup

Mereka ditahan terdiri 43 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar berusia 18 hingga 45 tahun dalam rumah kedai tersebut.

Ketua Polis Tanah Merah, Wan Zulfikri Wan Othman berkata, PATI itu dibawa masuk ke negara ini sejak tiga hari lalu melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.
TANAH MERAH:
Polis menahan 50 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi di sebuah rumah kedai di Kampung Jelakong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Wan Zulfikri Wan Othman berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, 5.30 petang.

Beliau berkata, turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 48 dan 65 tahun yang berada di dalam premis itu

“Semasa pemeriksaan, polis menemukan 43 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar berusia 18 hingga 45 tahun di dalam rumah kedai tersebut.

“Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Wan Zulfikri berkata, mereka dibawa masuk ke negara ini sejak tiga hari lalu melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk bekerja di Kuala Lumpur, Kuantan, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Beliau berkata, premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum mereka dibawa keluar dari Kelantan.

“Susulan itu, dua lelaki warga tempatan terlibat ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kesemua warga Myanmar itu pula ditahan mengikut Akta Imigresen 1963 dan mereka telah dibawa ke IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk membawa pendatang terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.