
Pegawai penyiasat SPRM, Haris Ibrahim berkata, mereka ialah bekas ketua pegawai kewangan Felcra, Azmy Abu Samah; perunding unit amanah Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid yang memberikan kenyataan akhir mereka kepada penggantinya, Ihsan Sapuan, Februari tahun lalu.
Haris mengendalikan kes itu antara 2015 dan 2018 sebelum dipindahkan ke Melaka.
“Walaupun saya berada di Melaka, Ihsan mengemas kini kes itu kepada saya,” katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Law Chin How.
Kes berkenaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Faridz Gohim Abdullah dan Sophian Zakaria bersama Law.
Azmy, Norhaili dan Madhi masing-masing memberikan lima keterangan kepada pegawai SPRM antara 2016 dan 2018.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa ketiga-tiga mereka memberikan kenyataan konsisten sehingga tahun lalu mengenai bayaran komisen RM2.8 juta kepada Bung melalui Zizie.
Bagaimanapun mereka dikatakan telah memberi keterangan lanjut kepada Ihsan tahun lalu bahawa wang itu sebenarnya adalah bayaran pengenalan kepada Zizie untuk memujuk Felcra melabur RM150 juta dalam dana unit amanah.
Pihak pendakwaan telah mengisytiharkan Norhaili dan Madhi sebagai saksi bermusuhan dan mahkamah membenarkan mereka disoal balas.
Semasa pemeriksaan semula oleh Law hari ini, Haris berkata, beliau telah mengendalikan 24 saksi berkaitan kes ini sebelum dipindahkan ke Melaka.
“Saya juga menyediakan draf pertuduhan terhadap Bung dan Zizie untuk pertimbangan pendakwa raya,” katanya.
Katanya, dia ada merekodkan kenyataan Bung dan Zizie atas kapasiti mereka sebagai saksi memandangkan mereka tidak ditahan.
“Bagaimanapun saya tidak menganggap mereka sebagai saksi kerana mereka adalah suspek utama,” katanya.
Terdahulu, semasa disoal balas oleh M Athimulum yang mewakili Bung, Haris berkata, beliau merekodkan dua keterangan daripada Bung pada Ogos 2016 dan satu lagi pada Jun 2018.
Beliau juga bersetuju dengan peguam itu bahawa Zizie hanya menyebut dalam keterangan bahawa RM2.8 juta itu adalah bayaran pengenalan.
Haris juga bersetuju dengan peguam K Kumaraendran, yang mewakili Zizie, bahawa SPRM tahu pada awal Julai 2016 wang daripada Norhaili kepada anak guamnya adalah bayaran pengenalan.
Beliau juga bersetuju dengan Kumaraendran bahawa keterangan Norhaili dan Madhi di mahkamah adalah konsisten dengan keterangan terakhir yang mereka berikan kepada SPRM tahun lalu.
Bung, 64, yang juga ahli Parlimen Kinabatangan dan timbalan ketua menteri Sabah, menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur dalam dana unit amanah Public Mutual.
Sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, dia didakwa menerima rasuah melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Dia juga mengaku tidak bersalah menerima wang tunai RM335,500 sebagai rasuah daripada Norhaili melalui Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Perbicaraan di hadapan hakim perbicaraan Rozina Ayob ditangguhkan sehingga 17 Mei depan.