Saya dah cuba pujuk Ong supaya kekal, kata Loke

Saya dah cuba pujuk Ong supaya kekal, kata Loke

Loke Siew Fook berkata Ong Kian Ming membuat keputusan untuk tidak bertanding sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada Mac lalu.

Loke Siew Fook berkata walaupun Ong Kian Ming tidak dipilih sebagai ahli jawatankuasa pusat DAP, ia tidak akan menjejaskan peluangnya diletakkan sebagai calon.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata beliau sudah cuba memujuk Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, Ong membuat keputusan untuk tidak bertanding sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada Mac lalu.

“Dia memberitahu saya dua bulan lalu. Selepas saya mengambil alih jawatan setiausaha agung, dia membincangkan keputusan itu dengan saya. Saya cuba memujuknya untuk kekal (bertanding),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Dalam pada itu, Loke berkata walaupun Ong tidak dipilih sebagai ahli jawatankuasa pusat DAP, ia tidak akan menjejaskan peluangnya diletakkan sebagai calon.

Terdahulu, Ong mengumumkan beliau akan berehat daripada politik untuk “merenung semula bagaimana untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang dikumpulkan dalam sembilan tahun lepas dengan sebaiknya”.

Ong, yang dipilih sebagai ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan ahli Parlimen Bangi mulai Mei 2018 berkata, beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa saja dinamakan parti sebagai calon untuk Bangi pada PRU15 dan terus berkhidmat di kawasan Parlimennya serta parti sehingga Parlimen dibubarkan.

Loke berkata, Ong berikrar untuk terus membantu DAP dalam PRU akan datang dengan kepakarannya dalam analisis kawasan dan dasar.

Katanya, Ong juga memaklumkan beliau mengumumkan keputusannya awal hari ini supaya DAP mempunyai banyak masa untuk membuat pertimbangan mengenai calon baharu kerusi Bangi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.