Pelajar perlu masa sesuaikan diri untuk kelas fizikal, kata kesatuan

Pelajar perlu masa sesuaikan diri untuk kelas fizikal, kata kesatuan

NUTP dan KKGGBM berkata pelajar memerlukan sekurang-kurangnya setahun, selepas dua tahun menjalani kelas dalam talian.

Pelajar kembali menghadiri sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah pada Mac selepas dua tahun menjalaninya dalam talian.
PETALING JAYA:
Pelajar memerlukan masa untuk menyesuaikan diri menghadiri kelas secara fizikal, selepas dua tahun menjalani kelas dalam talian akibat sekatan pergerakan ketika wabak, kata dua kumpulan pendidikan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia (KKGGBM) berkata, pelajar akan memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menyesuaikan diri, menurut laporan China Press.

Pelajar mula kembali menjalani kelas secara fizikal secara berperingkat sejak tahun lalu.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan, berkata ramai pelajar yang kembali menjalani kelas secara fizikal pada Mac tidak dapat mengikuti pelajaran mereka. Ini khususnya dilihat dalam kalangan mereka yang tiada kemudahan pembelajaran dalam talian.

Tahun lalu, kaji selidik oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendapati sekitar 78% pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur hilang minat untuk belajar susulan sekatan pergerakan.

“Pelajar masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, dan dipercayai keadaan akan lebih baik apabila penggal persekolahan baharu bermula tahun depan,” katanya dipetik akhbar harian berbahasa Cina itu.

Sementara itu, Presiden KKGGBM, Lim Bee Khim, berkata guru kini perlu menangani kekurangan semangat pelajar dalam menghadiri kelas secara fizikal.

Katanya, ini khususnya dilihat dalam kalangan pelajar Tahun 4 dan 5 akibat kekurangan disiplin diri.

“Ada pelajar akan lebih diam dan tidak berinteraksi dengan rakan sekelas, selain kurang bercakap atau bertanya soalan.”

Katanya, ada sekolah yang mendapati pelajar menghadapi masalah psikologi termasuk berkaitan dengan keluarga, ekonomi atau wabak.

Lim turut menegaskan guru tidak patut “terlalu tegas” dalam memberikan kerja rumah, sebaliknya “lebih berlembut dalam membantu dan membimbing golongan itu supaya rasa selamat apabila menghadiri sekolah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.