Operasi permainan bermotor di Kinta Riverwalk dihenti

Operasi permainan bermotor di Kinta Riverwalk dihenti

Langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai malam tadi.

Semalam, tular video berdurasi 29 saat menunjukkan kenderaan mainan dinaiki seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai, turut kelihatan kehadiran ambulans yang memberi rawatan kepada mangsa dan mereka yang cedera.
IPOH:
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan arahan penutupan sementara operasi permainan bermotor di Amusement, Kinta Riverwalk, di sini bagi menjalankan siasatan susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai, malam tadi.

Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, berkata kini siasatan sedang dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kanak-kanak itu yang berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas ibu bapa dan bantuan orang ramai.

“Pihak MBI telah mengeluarkan arahan penutupan operasi permainan kanak-kanak itu mulai hari ini bagi menjalankan siasatan isu berkaitan kereta mainan bermotor kanak-kanak di Kinta Riverwalk tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, MBI telah melantik syarikat berkaitan bagi menjalankan siasatan aktiviti permainan kanak-kanak di Kinta Riverwalk itu mulai 1 Jan tahun ini dengan menetapkan garis panduan keselamatan untuk beroperasi.

Semalam, tular video berdurasi 29 saat menunjukkan kenderaan mainan dinaiki seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai sebelum diselamatkan ibu bapa mangsa dan orang ramai berada di tempat kejadian daripada dihanyutkan arus.

Turut kelihatan dalam video itu, kehadiran ambulans yang memberi rawatan kepada mangsa dan mereka yang cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.