Iring anak ahli Parlimen: Anggota trafik ditempat di bahagian pentadbiran

Iring anak ahli Parlimen: Anggota trafik ditempat di bahagian pentadbiran

Siasatan dalaman mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari terbabit.

Video tular memaparkan dua anggota polis trafik kelihatan sedang mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak ahli Parlimen.
PETALING JAYA:
Dua anggota trafik yang dikatakan mengiringi orang awam didakwa anak seorang ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang, Sabtu lalu, ditempatkan di bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan terperinci selepas kertas siasatan dibuka.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan dalaman mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan polis kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari terbabit.

“Kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci bagi memberikan keadilan.

“Sehingga siasatan selesai kedua-dua anggota trafik tersebut telah dilucut sementara daripada menjalankan tugasan hakiki dan di tempat di bahagian pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Nombor 11 (Prosedur Atur Gerak dan Membuka Laluan Trafik) menyatakan, proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali dalam keadaan kecemasan.

Katanya, pegawai bertanggungjawab perlu menilai permohonan itu bagi membuat keputusan sebelum rekod kelulusan permohonan dicatat dalam buku daftar dan buku perharian balai.

Shuhaily berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terbabit dengan salah laku dan bertentangan dengan SOP ditetapkan.

“Polis kontinjen memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia tugasan,” katanya.

Klip rakaman dua anggota trafik mengiringi orang awam di Jalan Bukit Gambir itu tular sejak kelmarin.

Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik akaun “anwarazeez” itu memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik menunggang motosikal polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.