2 ditahan bantu siasatan kes samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

2 ditahan bantu siasatan kes samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

Polis masih mencari bukti baharu bagi membantu siasatan, selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

Dalam kejadian Khamis lalu, suspek meminta mangsa mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1 juta dan pelbagai barangan kemas ke dalam beg yang disediakan. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Polis Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas dekat sini, pada Khamis (5 Mei) lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki dan wanita tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.

Beliau berkata, pihaknya masih mencari bukti baharu bagi membantu siasatan, selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

“Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini, beberapa kenyataan yang dibuat oleh saksi sebelum ini kita sahkan memandangkan pada peringkat awal, terdapat percanggahan maklumat.

“Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada Bahagian Forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal. Kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media.

Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit dalam rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.