Tekong darat bawa 20 PATI Myanmar ditahan polis

Tekong darat bawa 20 PATI Myanmar ditahan polis

Suspek berusia 21 tahun ditahan selepas cubaannya memecut laju van yang membawa 20 PATI gagal.

Ketua Polis Pasir Mohd Nasaruddin, berkata 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 40 tahun, disyaki memasuki negara ini secara tidak sah melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki tekong darat bersama 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata kegiatan lelaki berusia 21 tahun itu dikesan selepas dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang memandu van dalam keadaan mencurigakan, di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas, 6.15 pagi.

Beliau berkata, polis kemudiannya mengarahkan pemandu van berhenti, namun dia sebaliknya bertindak agresif dengan memecut laju dan cuba melarikan diri.

“Selepas mengejar sejauh tujuh kilometer, van itu akhirnya berhenti di tepi jalan Kampung Banggol Chica, Pasir Mas pada 6.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan dalam van, polis menemukan 20 warga Myanmar disyaki Pati iaitu 17 lelaki dan tiga orang wanita berusia 17 hingga 40 tahun. Kesemua mereka disyaki memasuki negara ini secara tidak sah melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya menurut laporan Bernama.

Nasaruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Buat masa ini suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Kesemua warga Myanmar yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.